Propellerads

Kenyataan Media Muhyiddin Yassin Apabila Mukhriz Letak Jawatan

Kenyataan Media Muhyiddin Yassin Apabila Mukhriz Letak Jawatan


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat kenyataan rasmi ekoran perletakkan jawatan oleh Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Ternyata Muhyiddin Yassin kecewa dan berduka dengan hal ini. Beliau juga percaya, rakyat kedah kecewa dengan apa yang berlaku di Kedah.

Ini kenyataan penuh Muhyiddin:

KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Akhirnya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah selepas melalui badai politik hampir dua minggu yang lalu. Saya amat dukacita dengan peristiwa ini.

Saya yakin rakyat tahu apakah sebab sebenar beliau disingkirkan. Di antara hak menyuarakan yang benar dengan tuntutan taat yang membuta tuli.

Sebagaimana dijangka, Datuk Seri Mukhriz telah menerima tekanan yang berterusan daripada beberapa pihak yang mahukan supaya beliau berundur walaupun beliau menerima sokongan daripada majoriti rakyat Kedah. Oleh sebab tekanan politik yang luar biasa, maka hari ini beliau terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar. Saya percaya, ramai rakyat Kedah yang kecewa. Bahkan, rakyat Malaysia juga kecewa.

Telah berakhir hari-hari di mana kita percaya bahawa pucuk pimpinan membuat keputusan berdasarkan kehendak rakyat. Nampaknya, dalam episod politik yang mutakhir ini, kehendak segelintir pihak mengatasi kehendak majoriti rakyat.

Mereka mungkin lupa bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang mengharapkan sokongan rakyat untuk terus kekal relevan. Jika sesuatu keputusan dibuat tanpa mengambilkira sentimen dan kehendak rakyat terbanyak, saya bimbang masa depan UMNO akan terjejas.

Bukan mudah untuk memperolehi semula kepercayaan rakyat apabila mereka terasa dikhianati. Sesungguhnya, dugaan hebat sedang menanti pengganti Menteri Besar Kedah untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada UMNO.

Saya yakin Datuk Seri Mukhriz tabah menghadapi dugaan ini. Beliau seorang pemimpin yang berintegriti dan mempunyai karisma. Segala yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ini satu permulaan kepada perjuangan yang lebih panjang.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
3 Februari 2016
Share on Google Plus

About Unknown

Kami tulis dan sebarkan sepantas mungkin apa sahaja informasi terkini untuk anda.
    Blogger Comment
    Facebook Comment