102 Pemandu Teksi Saman SPAD, Mahu Uber Dan Grabcar Diharamkan
Melalui laporan dari BERNAMA, beberapa orang pemandu teksi telah bersetuju untuk menyaman SPAD ekoran perkhidmatan UBER dan seumpana dengannya.
Bagi pemandu teksi, perkhidmatan UBER ini salah dan membantutkan pendapatan mereka kerana menawarkan hara yang lebih rendah.
Ini laporan penuh dari BERNAMA:
Seramai 102 orang pemandu teksi sekitar Lembah Klang memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa menjalankan operasi secara tidak sah.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin, 51, bersama 101 pemandu teksi berumur antara 25 hingga 73 tahun selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan R. Kengadharan & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam permohonan itu, kesemua pemandu teksi terbabit memohon perintah deklarasi supaya SPAD selaku defendan mengharamkan operasi Uber, Grabcar dan Blacklane, yang merupakan perkhidmatan teksi dalam talian kerana ia tidak tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714).
Plaintif turut memohon perintah injunksi agar SPAD tidak mengesahkan aktiviti dan operasi ketiga-tiga perkhidmatan teksi dalam talian itu selain mengeluarkan satu garis panduan dan pekeliling tertakluk kepada persetujuan terma-terma bagi mengharamkan operasi dan aktiviti perkhidmatan Uber, Grabcardan Blacklane.
Mereka juga memohon ganti rugi am, kos, faedah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua pemandu teksi berkenaan mendakwa operasi yang dijalankan Uber, Grabcar dan Blacklane telah memberi kesan buruk terhadap industri perkhidmatan teksi tempatan kerana kadar tambang perkhidmatan teksi dalam talian itu jauh lebih rendah dari tambang teksi bermeter.
Mereka mendakwa operasi untuk membanteras 'kereta sapu' haram yang dijalankan SPAD serta Jabatan Pengangkutan Jalan dilihat tidak berkesan, selagi aplikasi 'penyedia tempahan' oleh Uber, Grabcar dan Blacklane ini tidak disekat dan ianya dengan mudah mengkucar-kacirkan industri perkhidmatan teksi tempatan.
Kesemua plaintif mendakwa pemandu-pemandu Uber, Grabcar dan Blacklane tidak memiliki kad pemandu yang dikeluar dan diluluskan oleh SPAD selain mendakwa pemandu berkenaan menggunakan kenderaan persendirian untuk mengambil penumpang serta kenderaan itu tidak didaftarkan dengan SPAD.
Plantif juga mendakwa SPAD gagal dan cuai mengambil tindakan pro-aktif untuk mengharamkan ketiga-tiga perkhidmatan dalam talian itu, sehingga segala hak dan kepentingan plaintif dipinggirkan oleh SPAD.
Mereka juga mendakwa SPAD merupakan badan yang tidak mampu memartabatkan hak dan pemandu teksi Malaysia selain mendakwa SPAD telah mencemar nama baik industri teksi negara dan menjejaskan pendapatan serta mata pencarian kesemua pemandu teksi berkenaan.-Bernama
Blogger Comment
Facebook Comment