Propellerads

"Malaysia Bukan Negara Gagal" - PM Najib

"Malaysia Bukan Negara Gagal" - PM Najib 


Malaysia bukanlah sebuah negara yang gagal - itulah antara kesimpulan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak.

Ini ekoran banyak kerangka nilaian antarabangsa meletakkan negara ini pada kedudukan yang unggul, kata Perdana Menteri lagi.

Walaupun akui kerajaan bukannya sempurna, namun PM Najib menegaskan Malaysia tidak layak digelar negara gagal berdasarkan komitmen kerajaan menjaga matlamat maqasid syariah dalam pentadbiran.

Beliau berkata label dan stigma itu sengaja diwujudkan oleh sebahagian media yang berkepentingan seakan-akan mahu nama Malaysia diburukkan secara sewenang-wenangnya.

Ini komen Perdana Menteri:

"Saya mohon perlindungan daripada ALLAH SWT daripada sikap riak dan takbur bahawa kita adalah negara yang terbaik, kita tidak sempurna dan di hadapan anak-anak muda ini, saya berani mengatakan bahawa kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna.

"Malah, saya juga sedar, jika saya tidak memperjuangkan narma-norma baharu yang dikehendaki generasi muda, saya juga boleh gagal memimpin, namun harus juga saya tegaskan, Malaysia bukan sebuah negara yang gagal,"

perdana Menteri berkata begitu ketika menyampaikan ucap tama bertajuk "Wasatiyyah Sebagai Manhaj Generasi Muda Masa Kini" pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2015 Islam dan Generasi Muda: Cabaran dan Harapan anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) di Institut Penilaian Negara (Inspen) dekat sini, hari ini.

Kira-kira 300 peserta termasuk penuntut Universiti Awam (UA) mengambil bahagian pada seminar itu.  

Selain menjaga matlamat maqasid syariah seperti memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan milikan harta, Malaysia juga tidak layak digelar negara gagal kerana kajian sebuah badan bebas menunjukkan negara mengungguli 'The Global Islamic Economy Indicator (GIEI 2014-2015) daripada 70 negara Islam, katanya.

Perdana menteri berkata kajian itu turut merumuskan Malaysia mendahului dengan margin yang besar dari sudut nilaian ekosistem ekonomi Islam di mana perekonomian Islam negara dikatakan sebagai yang paling matang, manakala kewangan Islam juga jauh mendahului negara-negara lain.

"Apakah kita ini negara gagal bila mana Malaysia hampir berada di tempat teratas didalam banyak kerangka nilaian seperti The Global Competitiveness Report ataupun World Bank Report of Doing Business?" soal PM Najib yang juga merangkap Menteri Kewangan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap generasi muda tidak sewenang-wenangnya menjadi pembawa berita kononnya negara sedang menuju jalan songsang sama ada dari perspektif ekonomi mahupun politik.

PM Najib juga kesal kerana terdapat generasi muda seakan-akan lebih percaya kepada propaganda dan label buruk yang mungkin sahaja disuntik oleh musuh Islam terutamanya menerusi media sosial.

Beliau berharap generasi berkenaan bersikap adil dalam membuat setiap nilaian dan sanggahan.

"Berbeza pandangan adalah perkara biasa tetapi apa yang penting adalah jangan cagarkan keamanan negara demi kepentingan politik yang singkat," kata beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan generasi muda supaya mengambil sikap 'seimbang' selaras niat dan maksud Wasatiyyah di dalam menyanggah kerajaan dan pimpinan.

"Yang mana tidak baik, wajar disanggah dan ditegur namun begitu, jika ada aspek yang baik yang dilakukan kerajaan, jangan pula malu untuk mengangkatnya sebagai sesuatu yang baik," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan empat buku terbitan terbaharu IWM termasuk 'Memartabatkan Wasatiyyah' hasil tulisan beliau sendiri.

Perdana Menteri turut menyerahkan watikah pelantikan kepada wakil daripada lima UA bagi penubuhan Kelab Wasatiyyah di pusat pengajian masing-masing. - Bernama 
Share on Google Plus

About Unknown

Kami tulis dan sebarkan sepantas mungkin apa sahaja informasi terkini untuk anda.
    Blogger Comment
    Facebook Comment