Propellerads

Hang Tuah Bukan Kisah Dongeng - Penyelidik UPM

Hang Tuah Bukan Kisah Dongeng - Penyelidik UPM


Hang Tuah merupakan kisah pahlawan yang popular di Malaysia. Hang Tuah bersama rakan-rakannya merupakan pahlawan yang handal di Melaka satu masa dulu.

Pertikaian mengenai kewujudan Laksamana Melaka itu akhirnya terjawab apabila Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan empat bukti bertulis selain satu artifak mengenai pahlawan Melayu itu.

Pendedahan tersebut dibuktikan menerusi buku Hang Tuah: Catatan Okinawa hasil kajian dua pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Mereka ialah
1) Prof Emeritus Dr Hashim Musa
2) Dr Rohaidah Kamaruddin.

Menurut Prof Hashim, buku itu dihasilkan bagi membuktikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti primer daripada sumber asing yang belum didedahkan kepada masyarakat negara ini.

Ini komen Prof:

“Demi membuktikan sesuatu watak itu wujud dalam sejarah, sumber primer atau sumber sahih yang sezaman dengan watak itu harus ditemui dan dipaparkan dengan jelas.

“Jadi menerusi buku ini kami paparkan empat data (termasuk satu artifak) daripada luar alam Melayu yang boleh dianggap sebagai bertaraf sumber primer iaitu dari Jepun, Portugal dan China,"

Katanya, empat sumber bertulis tersebut adalah dokumen rasmi daripada kerajaan Ryukyu yang kini dikenali sebagai Okinawa, Jepun; catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang diterbitkan pada 1774 dan dua sumber China yang menghuraikan mengenai hubungan diplomatik dan perdagangan antara Maharaja Dinasti Ming dengan Sultan Melaka sekitar awal abad ke-15.

Sementara itu, menyentuh mengenai penemuan dokumen Empayar Ryukyu iaitu Rekidai Hoan yang mencatatkan hubungan kerajaan bebas itu dengan Korea dan negara Asia Tenggara, kata Rohaidah, terdapat sekurang-kurangnya 19 surat daripada kerajaan Ryukyu kepada Melaka dan 11 surat lagi daripada Melaka kepada Ryukyu.

Ini komen Rohaidah:

“Namun ditemui tiga surat daripada pihak Melaka yang mempunyai kaitan langsung dengan Laksamana Hang Tuah bertarikh 1480 dan 1481,” 

Rekidai Hoan dijumpai pada 1932 dan dikaji serta diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Prof Dr Atsushi Kobata dan Dr Mitsugu Matsuda yang diterbitkan pada 1969.

Menerusi buku Hang Tuah: Catatan Okinawa turut dimuatkan fotokopi salinan tiga surat berkaitan Hang Tuah dalam bahasa Cina iaitu bahasa asalnya serta terjemahannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Kata Rohaidah lagi, surat-surat berkenaan antara lain menyentuh mengenai hubungan diplomatik, perdagangan dan berkaitan hadiah atau sumbangan Melaka kepada kerajaan Ryukyu.

“Antara barang bingkisan hadiah daripada Melaka kepada Ryukyu ialah keris. Sebilah keris tanpa hulu dan sarung dijumpai di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran Istana Shuriji.

“Keris itu mempunyai sembilan lok menandakan ia bagi kegunaan rasmi dan bukannya untuk berjuang,” 

Buku Hang Tuah: Catatan Okinawa terbitan UPM Press itu penting sebagai bukti bahawa Hang Tuah sebagai wira Melayu bukan hanya cerita dongeng.

Ini komen Prof Hashim lagi:

“Hang Tuah memang wujud dalam sejarah. Bagi orang Melayu beliau adalah wira bangsa. Hang Tuah juga adalah lambang sifat orang Melayu iaitu kepahlawanan, berani, taat setia kepada raja, berilmu serta berdiplomasi tinggi.

“Beliau mempunyai karakter Melayu global. Kita nak tonjolkan bahawa Hang Tuah adalah wira Melayu,” 

“Sekarang ini tak ada, yang ada hanya cerita dongeng. Jadi untuk permulaan kami merancang untuk menghasilkan naskhah mudah untuk peringkat kanak-kanak, menengah rendah dan atas.

“Saya tak mahu Hang Tuah hilang dalam lipatan sejarah, kita mesti tonjolkan,” 

Selain itu menurut Hashim, pihaknya juga berhasrat untuk menjadikan Hang Tuah sebagai tokoh sejarah dalam buku teks pembelajaran di sekolah.

Sumber: mStar

Share on Google Plus

About Unknown

Kami tulis dan sebarkan sepantas mungkin apa sahaja informasi terkini untuk anda.
    Blogger Comment
    Facebook Comment