Propellerads

PM Najib Tak Akan Undur, Ikrar Tidak Akan Biarkan Malaysia Jatuh

PM Najib Tak Akan Undur, Ikrar Tidak Akan Biarkan Malaysia Jatuh


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015 semalam dan berikrar tidak akan membiarkan Malaysia jatuh,

Malahan beliau dan barisan pentadbirannya  akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia.

Perdana Menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan yang lain akan meneruskan usaha untuk membangunkan Malaysia walaupun terdapat pelbagai dugaan melanda.

Perdana Menteri telah menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ini komennya:

"Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri, merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini. 

"Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu sahaja,"

"Kerana itulah kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan ia bukanlah sebagai saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara demokrasi," 

"Saya berdiri di sini, dan berucap sebagai warga Malaysia yang bersemangat serta bangga dan ingin menyatakan dengan tegas bahawa negara serta tanah air ini adalah milik setiap seorang daripada kita dan kita tidak akan membenarkan sesiapa pun menjadi dalang serta pengkhianat untuk memusnahkannya. 

"Bersabit itu juga, jangan ada sesiapa yang cuba mengadu domba meski apapun akan berlaku, biar berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua...persarikatan mulia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung bak pesan orang-orang lama, bercerai kasih bertalak tidak, ibarat besi terpatri mati," 

"Kerana kemerdekaan inilah lambang kemuncaknya perjuangan, tanda tingginya kesungguhan dan bukti sifat penuh berani oleh orang-orang Melayu, Umno dan rakan-rakan parti komponen, demi membina sebuah negara bangsa,"

"Suka saya ulangi di sini, sekali layar sudah dikembangkan, apabila sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik haluan. 

"Bersamalah kita berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita bangkit dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang masa depan dengan jiwa yang gagah dan merdeka dalam satu solidariti, senada seirama, sehati sejiwa kita gemakan Merdeka! Merdeka! Merdeka!" 

Turut hadir ke majlis malam ini isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ahmad Zahid dan menteri-menteri Kabinet.

Kakitangan awam, ahli-ahli korporat, wakil-wakil NGO, golongan pendidikan,budayawan, mahasiswa dan individu-individu yang mewakili masyarakat pula hadir sebagai jemputan untuk mendengar amanat berkenaan.
Share on Google Plus

About Unknown

Kami tulis dan sebarkan sepantas mungkin apa sahaja informasi terkini untuk anda.
    Blogger Comment
    Facebook Comment